MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan beliau tidak akan turun sebagai Presiden Umno kerana 3 juta ahli parti itu teguh berdiri di belakangnya.
Beliau berkata, sebagai seorang yang dipilih melalui prinsip demokratik berdasarkan perlembagaan parti yang baharu, beliau perlu diberi ruang bagi berkhidmat dengan cara terbaik untuk Umno dan rakyat.
"Berkat dari sokongan Umno yang saya rasa masih jitu dan ampuh, suara seorang suruh saya turun, saya tidak akan turun sebab 3 juta ahli Umno ada bersama saya.
"Bukan saya angkuh tetapi saya telah dipilih (sebagai Presiden Umno) jadi jangan ganggu saya melakukan yang terbaik.
"Ada kata saya tidak bijak kerana buang sistem kuota untuk bertanding presiden parti, tetapi saya mahu parti kita lebih inklusif lebih demokratik maka saya serah kepada ahli Umno tentukan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka di Bandar Hilir di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka; Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin; dan Ketua Bahagian Umno Kota Melaka Datuk Abdul Latiff Tamby Chik.
Najib berkata, ahli Umno perlu memberikan sokongan kepada dirinya bukan kerana sebab peribadi, tetapi kerana beliau adalah Presiden Umno.
"Sokongan kepada saya bukan kerana saya Najib bukan kerana sebab peribadi, sokongan kuat perlu diberi kepada Presiden Umno kerana tidak boleh ada Presiden Umno yang lemah untuk pastikan parti kita terus berjaya," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, beliau tidak bersetuju sikap ekstrem dalam Umno dan mahukan semua ahli parti memilih kesederhanaan bagi memastikan Umno terus kekal mendapat sokongan rakyat.
Katanya, sikap angkuh dan fikir Umno terlalu kebal untuk kalah dalam pilihan raya akan membuatkan anggota Umno terlalu selesa dan sikap melihat parti itu terlalu lemah akan membuatkan ahli Umno terlalu kecewa untuk berjuang serta menghampakan rakyat.
"Kalau kita pilih jalan pertengahan kita pilih jalan wasatiyyah dalam Islam maknanya, kalau kita bersatu, setia kepada ketua, kita bekerja keras, kalau kita berkhidmat pada rakyat, kalau kita jaga kemaslahan rakyat, jaga agama semua kaum Insya-ALLAH kita boleh menang (pilihan raya)," katanya.
Menurut Najib, rakyat pada masa ini melihat kepada keupayaan untuk 'meletak makanan di atas meja', maka ini perlu diberi fokus utama oleh ahli Umno.
"Rakyat nak bumbung di atas mereka, hendak rezeki halal, hendak sekolah dan pendidikan inilah perkara yang perlu kita fokus. Soal 1MDB bukan segalanya macam dunia nak kiamat; siling nak runtuh, ini bukan 'defining issue'," katanya.
Beliau berkata sehubungan itu semangat setiakawan dalam Umno perlu dipupuk terutamanya di kalangan akar umbi dan pemimpin di pelbagai peringkat bagi memastikan Umno terus kukuh bagi membela nasib rakyat dan bangsa Melayu.
Katanya semangat setiakawan yang perlu dipupuk dalam semua ahli Umno memainkan peranan penting dalam memastikan semua ahli parti itu akan bersama dalam situasi susah atau senang terutamanya menghadapi cabaran hebat pada masa ini.
"Jangan pula masa senang kita sokong, masa susah kita tebuk kapal pula, susah senang kita bersama itulah setiakawan dalam politik, kita dalam keluarga begitu lah. Zaman susah tidak lama kerana ada cahaya di hujung terowong jika ada setiakawan politik ini," katanya.
Sementara itu, Najib menegaskan Umno merupakan tunjang kepada perjuangan membela nasib bangsa Melayu di negara ini dan menasihatkan ahli parti itu supaya tidak membiarkan perbezaan pendapat 'menguburkan' parti tersebut.
"Kalau tiada Umno maka 'terbangsat' lah bangsa Melayu. Saya tidak dapat bayangkan nasib bangsa Melayu tanpa Umno," katanya. - Bernama
0 Response to "Bangsa Melayu Akan Menjadi Bangsa Terbangsat Selepas Ketiadaan Saya - Najib Razak"
Posting Komentar